SELAMAT DATANG KE LAMAN WEB SK SAUJANA IMPIAN 2, 1 MURID 1 SUKAN 1 MALAYSIA..

KATA-KATA ALUAN GURU BESAR



 
SEKAPUR SIREH

 Bismillahirrahmanirrahim.
 Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
 Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

                        Guru-guru dan Warga SK Saujana Impian 2 yang saya muliakan.

                       Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, Perancangan Pengurusan dan Takwim Sesi Persekolahan 2014 dapat disiapkan sebelum sesi persekolahan bermula. Semoga kita semua diberi olehNya kekuatan untuk melaksanakan setiap apa yang dirancang dengan jayanya. Pada tahun 2014 ini, kita akan mula beroperasi dua sesi persekolahan iaitu pagi dan petang.

          Perancangan Pengurusan dan Takwim Sesi Persekolahan 2014 ini adalah sebagai garis panduan dan rujukan utama bagi semua guru dan warga SK Saujana Impian 2. Justeru itu, saya berharap Perancangan ini dapat dimanfaatkan oleh semua guru dan staf sokongan agar dapat meningkatkan lagi integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum sepanjang tahun ini. Semoga ia akan dapat membantu dan memudahkan semua pihak dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan.

         Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah menggariskan panduan untuk semua pendidik dan warga sekolah bagi menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan bagi mencapai hasrat mentransformasikan Pendidikan Negara kearah Pendidikan Bertaraf Dunia. Ini adalah cabaran yang amat besar buat kita semua bagi merealisasikannya. Insyaallah, berkat kegigihan dan ketabahan, kita akan cuba capai bersama Visi dan Misi baru Kementerian Pendidikan Malaysia.

       Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera merupakan Visi dan Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara adalah Misi baru yang bermula pada tahun 2014 ini.

      Marilah kita sama-sama mendokong cita-cita murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) ini yang menggariskan 5 Aspirasi Sistem, 6 Aspirasi Murid, 9 Keberhasilan Utama, 11 Anjakan Utama dalam 3 Gelombang yang bermula 2013 hingga 2025.
       

               Mengimbau kembali tahun 2013, kita masih boleh berbangga dengan kejayaan yang telah kita capai sepanjang tahun. Kita telah berjaya mengekalkan kedudukan top-ten dalam ranking sekolah-sekolah dalam Daerah Hulu Langat dengan GPS 1.75. Kita akan cuba sedaya upaya merealisasikan KPI Sekolah bagi tahun 2014 ini berdasarkan KPI Pengarah dan KPI Pegawai Pendidikan Daerah.

              Akhirkata, ingin saya mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Perancangan Pengurusan dan Takwim Sesi Persekolahan 2014 diatas usaha gigih dan komitmen yang begitu tinggi dalam memastikan perancangan ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

              Last but not least, to all my teachers and staffs.......


 Segala perancangan serta kesungguhan dan keiltizaman kita didalam menzahirkan sesuatu yang baik hendaklah diserapkan sebagai satu budaya organisasi yang  mampan agar kejayaan yang hendak dicapai menjadi teras yang akan mencetuskan penjenamaan dan membentuk organisasi yang bermakna…..
            

Sekian. Terima Kasih.

Komited, Yakin, Inovasi.
SKSI 2 Gemilang.

Yang Menjalankan Tugas,


.............................................................................
(Shahar Fadzilah bt. Mohamad Daud., AMP)
Guru Besar SK Saujana Impian 2,
Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian,
Kajang, Selangor Darul Ehsan.

·       

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.